Monday 30 October 2017

Senarai Klinik Swasta & Farmasi yang sediakan ubat HAART

Salam,

Info ini aku dapat dari admin supoort group aku.

Di klinik-klinik ini boleh dapatkan runding cara/sokongan untuk Prep/PeP dan juga full blood test untuk STI.

1) Standard Pharmacy Sdn Bhd
Address :
18, Jalan Pahang, Titiwangsa Sentral, 53000 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Malaysia
+60 3-4043 1880

2) The Red Clinic
Address :
No. 23-P1, Block, B, Jaya One, 72A, Jalan Universiti, 46200 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia
+60 10-873 0175

3) Klinik Heritage
Address :
G5, Jalan Sultan Ismail, Chow Kit, 50250 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Malaysia
+60 3-2712 7026

4) Community Health Care Centre, PT Foundation
Address :
16, Jalan 13/48a, Sentul Raya Boulevard, 51000 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Malaysia
+60 3-4051 3611

Sunday 29 October 2017

Awas Air Kelapa, Madu dan Grapefruit!

Salam,

Aku menulis tengah-tengah malam sebab aku sedang susah hati. Dah masuk dua hari Abang demam. Demam menggigil macam masa dia sakit hari itu. Ya Allah, ringankanlah sakit suamiku. Aku tak sanggup lihat dia sakit sebegitu. Aku tak sure kenapa dia tiba-tiba jatuh sakit sedangkan bila dia start ambil ubat tibi dan HAART, alhamdulilah dia semakin sihat.

Bila fikir-fikir balik, rupanya dia ada minum air kelapa. Aku dh syak air kelapa boleh melumpuhkan kesan ubat-ubatan yang kita tengah consume. Salah aku juga sebab tak menegah dia minum air kelapa. Menyesalnya ya Allah. Sekarang dia hanya bergantung dengan panadol untuk lawan demam. Aku harap esok lusa Abang pulih.

Semalam aku bertanya dengan ahli support group aku mengenai hal ini. Betul sangkaan aku. Memang kena elakkan untuk minum air kepala. Haihh. Katanya madu dengan limau gedang (grapefruit) pun tak boleh makan. Baru aku tahu. Huhu

Lepas ini aku akan lebih berhati-hati. Kena pantau Abang supaya tak terjadi lagi perkara macam ini. Korang doakan Abang pulih seperti biasa ya.

Love,
Zeera

Friday 27 October 2017

Dilema suami PLU

Salam,

Semalam aku terdetik hati nak bertanyakan dengan admin support group yang aku join. Aku just bertanya, dalam group tu ada ke yang husband diorang sama kategori dengan Abang. Dia cakap ramai, dan majoriti. Tapi ramai yang dah tak aktif sebab ada masalah dengan pasangan. Di situ dia banyak menceritakan mengenai pengalaman wanita² yang senasib dengan aku.

Terkejut juga aku bila dengar ada kes yang dah bertahun kahwin tapi suami tak pernah sentuh isteri.  Ada yang menjadikan alasan sebab ada HIV dan sebagainya. Rupanya ada yang lagi teruk tapi tak dinafikan ramai wanita di luar sana yang memendam rasa. Selama ini memang aku tak pernah berkongsi dengan sesiapa mengenai perkara ini selain dari mak mertua aku jika ada masalah. Aku bersyukur dikurniakan mak mertua yang sentiasa ada untuk memberikan semangat buat aku. Sentiasa backup aku kalau kalau ada masalah. Sebab dia kenal siapa anak² dia.

Admin group minta aku supaya berkongsi sikit tips untuk wanita² yang senasib dengan aku, tips² untuk lelaki PLU untuk berkahwin dan sebagainya. Sebab ada segelintir yang nak kahwin, berubah  dan hidup bahagia berpasangan tapi diorang takut. Tak yakin dengan diri sendiri. Aku dengan Abang pun bukanlah pasangan yang terlebih bahagia hingga boleh dijadikan contoh. Tapi ada masa mungkin aku boleh share apa yang patut. Niat aku bukan untuk mengaibkan suami ke apa. Tapi mungkin jihad kecil aku ini boleh menjadi sesuatu yang lebih bermakna jika aku bantu wanita² yang senasib denganku. 

Biar kita sama² berjihad untuk bantu lelaki² PLU untuk kembali ke pangkal jalan, jalani hidup sebagai seorang suami yang baik. Yang sentiasa berpegang pada hukum agama.  Kita memang takkan dapat ubah naluri mereka. Tapi insyaAllah kita boleh ubah cara hidup, pemikiran mereka bahawa perkahwinan ini bukanlah hanya menuntut keinginan seks semata. Ia lebih kepada tanggungjawab, kerjasama dengan pasangan, dan ada banyak lagi perkara indah yang mereka terlepas pandang.



Bagi yang nak berkahwin demgan lelaki PLU, fikir sedalamnya. Adakah anda mampu untuk tetap bertahan untuk dugaan yang tak terfikir dek akal? Macam mana sebulan lepas berkahwin tapi anda masih dara?  Dah dua bulan kahwin, tetap masih belum disentuh suami dan secara tiba² mengemas rumah terjumpa satu beg yang penuh dengan kondom dan majalah lucah hanya hanya ada gambar lelaki? Tanya diri sendiri sebelum menerima. Kalau tak sanggup, lupakanlah. You deserve a better life.

Buat lelaki PLU yang nak berkahwin, jangan jadikan perkahwinan sebagai usaha untuk menutup aib. atau sekadar memenuhi keinginan ibu yang mahukan anaknya berkahwin. Tapi jadikanlah perkahwinan itu satu anugerah, sebab anda diberikan pasangan hidup yang bakal menemani anda hingga ke Jannah. Bersyukur dan berusahalah untuk berubah. Jangan pernah mengalah. Bertanggungjawablah dengan isteri. Jangan biarkan dia memendam rasa. Sampai bila?

Kita hidup di dunia ini dijadikan berpasangan lelaki dan perempuan. Full stop.

Love,
Zeera

Disini Bermula

Salam,

Alhamdulilah. Ujian menunjukkan negatif sewaktu darahku diambil tempoh lalu. Tapi aku belum boleh menarik nafas lega sebab aku perlu melepasi window period 3-6 bulan. Aku berharap aku tak dijangkiti dan bebas dari penyakit itu. Tapi jika itulah suratan takdirku, aku redha. 

Kadang-kadang aku terasa aku tak layak untuk memohon doa yang berlebihan. Entahlah. Ada masa aku frust, tak tahu nak explain macam mana. Contohnya seperti, eh layakkah aku nak mohon supaya dikurniakan zuriat? Tak payahlah. Dengan apa yang aku kecapi ini tak cukup lagikah? Macam itulah apa yang aku rasa. Tapi Allah itu Maha Adil. Aku tetap juga berdoa, memohon pada Allah. Hanya pada Allah jugalah tempat aku mengadu dan berserah. 

Aku mohon supaya Allah tunjukkan Abang ke jalan yang benar. Semoga Allah panjangkan umur Abang, diberikan kesihatan yang baik. Dan paling penting, aku sentiasa berdoa supaya aku diberikan kekuatan luar biasa dari segi mental dan fizikal. Sebab aku rasa orang yang paling terkesan, ialah aku. Aku tak pasti macam mana nak meneruskan hidup kalau Abang tak ada.

Aku seorang yang sangat clingy. Nak berkepit je. Tak boleh jauh dengan Abang. Tapi tak bermaksud aku bukan seorang yang independent. Abang ajar aku untuk independent. Aku boleh buat semua seorang diri. Tapi aku perlukan Abang untuk lengkapkan hidup aku. Aku rasa mungkin perasaan ini dihadapi oleh semua isteri yang mempunyai husband PLHIV. 

Abang dah start ambil ubat HAART dekat sebulan. Aku harap CD4 Abang meningkat. Aku rindu waktu kami aktif bersukan, aktif beriadah dan macam-macam lagi. Sekarang Abang kerap tidur awal, lepas itu kena bangun pukul 11 malam nak makan ubat pulak. Kalau tahu mula-mula dulu set makan ubat pukul 8 malam ke kan. InsyaAllah bila jumpa doktor nanti nak tanya pandangan doktor untuk tukar masa makan ubat.

Sepatutnya pasangan kena join sekali masa kaunseling hari itu, disebabkan kekangan masa aku tak dapat join lagi-lagi cuti dah habis sebab Abang masuk hospital tempoh hari. Tapi aku dah mintakkan Abang tanya soalan-soalan yang aku nak tanya. Termasuk soalan boleh tak bagi MC untuk aku sekali bila aku jumpa doktor untuk appointment seterusnya. So, next appointment aku boleh bersama-sama Abang untuk temankan dia.

Alhamdulilah aku tengok Abang sangat positif. Aku tak nampak muka dia down sebab sakit ke, tapi dia macam biasa je. Siap plan macam-macam untuk masa depan. Kalau aku jadi dia, tak tahu nak tempuh hidup macam mana. Sekarang ini pun, ada masa tengah duduk diam-diam mata masuk habuk. Abang pun dah faham. Kalau aku senyap dalam setengah jam tu dia dah muncul depan mata tegur aku. "Nape ni, mata masuk habuk ke?", sambil senyum-senyum.  Macam aku pulak yang sakit. Haha.

Lepas ni apa yang aku harapkan, semoga aku terus tabah menghadapi ujian yang bakal ku tempuh dengan Abang. Aku akan terus berjuang dengan Abang. InsyaAllah

Love,
Zeera

Tuesday 24 October 2017

Jihad Kecil

Salam,

Hampir 5 tahun aku perjuangkan jihad kecil ini. Perjanjian antara aku dan Allah. Jihad supaya aku berjuang untuk membawa Abang kembali kepada fitrah. Kembali ke jalan Allah. Supaya Abang tak terpesong lagi. Tapi aku juga punya khilaf, tak sesempurna, tak sekuat yang disangka. Siapalah aku untuk memperbetulkan benda yang tak mungkin aku dapat ubah. Iaitu naluri Abang.

Aku rasa entri mengenai perkara ini biarlah cukup pada satu entri ini saja untuk menjelaskan bagaimana Abang mendapat sakit. Sebab aku rasa seperti mengaibkan Abang pula walaupun identiti dirahsiakan. Cukup untuk menjawap persoalan sesiapa yang membaca cerita dalam blog ini.

5 tahun lepas sebelum berkahwin, aku juga dilema untuk menerima Abang. Percintaan selama lebih 3 tahun bersama ex aku tak membawa ke arah perkahwinan. Hanya sampai tahap merisik. Kemudian Abang mengambil peluang untuk menghantar rombongan meminang selepas itu. Pada masa itu kami cuma berkawan.

Aku terima ketentuan Allah. Aku hanya follow the flow, pada aku sekiranya Abang bukan jodoh aku kami takkan disatukan. Tapi siapa sangka, hingga kini aku adalah isteri Abang. Awal perkenalan, aku tahu siapa Abang. Lifestyle dia, orientation dia. Semua aku tahu walaupun Abang tak pernah bagitahu. Sebab itu aku terperangkap dalam dilema masa itu.

Family Abang menerima aku dengan berlapang dada. Sejak pertama kali berjumpa, aku rasa senang dengan family Abang. Itu antara sebab aku terima Abang. Aku yakin jika apa² berlaku, family dia akan backup aku. Akhirnya aku jadi isteri Abang. :')

Orang kata 5 tahun fasa perkahwinan diuji kan? Tapi aku rasa tahun pertama paling mencabar.  Tak perlu aku cerita lebih lanjut, cukuplah korang faham aku adalah isteri atas kertas je. Masa itu susah nak faham dia. Dia pun tak faham kot macam mana orang kalau dah kahwin. Hujung tahun pertama tu aku dah hampir give up, aku dah nekad nak pergi ke pejabat agama. Aku tak mampu pertahankan rumah tangga kami. Aku mesej Abang. Abang sepi mesej aku tak berbalas.

Aku tahu nak bercerai pun bukan mudah. Apa nak jawap dengan family. Aku tengok Abang pun sugul. Sejak daripada tu Abang berubah perlahan². Aku rasa untuk pertahankan perkahwinan macam kami kena selalu berkomunikasi. Awal perkahwinan aku tak pandai nak berdepan, sama dengan Abang. Setiap kali tak puas hati aku akan text. Tapi bukan text maki². Beritahu apa yg patut diperbetulkan. Nak menegur kena berhemah.

Semua ini memang ambil masa. Serius. Dan tak semuanya indah. Kau kena sabar semampu boleh. Sebab bahagia kau ada pasang dan surutnya. Alhamdulilah Abang buka hati dia perlahan². Biar perlahan asalkan cuba. Aku yakin bila rasa kasih, rasa sayang itu melebihi dari segalanya, insyallah rasa yang lain² tu akan menyusul (faham sendiri la ye). Aku tak pernah salahkan Abang. Aku tahu bukan aku seorang yang sedang berjihad, tapi yang sebenarnya sedang berjihad adalah Abang sendiri.

Aku pernah mengandung, tapi keguguran 2 kali. Mungkin belum rezeki. Mungkin Allah rasa kami belum ready. Aku tak pernah menyalahkan takdir. Malah aku bersyukur. Walaupun Abang ada kekurangan, aku tak pernah rasa kekurangan itu. Abang penyayang. Abang tak pernah lupa hari² istimewa aku. Abang selalu hargai aku dengan membelikan aku hadiah, buat suprise. Aku tahu Abang sangat sayangkan aku. Kadang² aku rasa kebahagiaan kami melebihi pasangan normal.

Abang manusia biasa, aku tahu Abang cuba untuk mengawal diri untuk buat perkara yang tak baik dibelakangku. Macam mana Abang mendapat sakit, aku rasa aku tak perlu tahu dan aku tak nak tahu. Sebab benda itu menyakitkan aku. Bila difikirkan balik, dengan kebahagiaan yang aku rasa sekarang, bila masa Abang buat perkara terkutuk itu?  Itu yang selalu bermain difikiran aku.

Marah? Aku dah ampunkan dosa² dia padaku. Pada aku itu bukan urusan aku sebab pada aku dia suami yang baik pada aku. Apa dia buat dibelakang aku adalah urusan dia dengan Allah. Dosa dia dengan Allah. Sekarang dia dah mendapat balasan cash dari Allah. Siapalah aku untuk menghukum Abang. Hukuman itu dah cukup berat buat Abang. Apa yang aku harapkan Abang betul² bertaubat dan kembali ke landasan yang betul.

Apa yang terjadi, aku tetap sayangkan Abang. Rasa kasih aku takkan berkurang. Malah makin sayang. Aku harap Allah bagi Abang peluang kedua. Aku mohon Allah panjangkan umur Abang. Amin.

Sunday 22 October 2017

Detik Itu

Salam,

Detik itu tak dapat aku bayangkan, pada aku itu merupakan mimpi yang paling ngeri dan menyedihkan dalam hidup bila mengetahui Abang positif. Dan kadang-kadang saat aku menulis ini pun terasa bagaikan mimpi yang tak sudah. Seperti aku nak keluar dari mimpi yang sebenarnya itulah kenyataan yang harus aku terima dan aku telan hingga aku menutup mata kelak.

Aku masih ingat lagi setiap perkara yang terjadi. Memang perkara tersebut masih baru buat aku dan Abang. Tapi setiap inchi cerita itu tersemat dalam kepala aku. Abang mengalami demam on off selama lebih 3 minggu. Telah aku bawa ke klinik kerajaan 2 kali untuk check darah tapi bukan denggi. Akhir sekali, aku bawa Abang ke hospital swasta. Abang terus warded. Itulah kali pertama aku tengok Abang sakit teruk. Selama ini Abang sihat dan aktif sahaja.

Bermacam ujian yang Abang tempuh, untuk mengenalpasti Abang sakit apa. Doktor syak Abang kena Tibi. So memang kena ambil darah untuk test HIV sebab itu prosedur wajib. Aku tengok muka Abang redha untuk turunkan tandatangan untuk buat test itu. Masa itu aku tak fikir apa-apa sebab masa kahwin kan kena buat test HIV jugak, dan Abang negatif. So, hari-hari seterusnya aku berulang-alik ke hospital untuk menjaga Abang. Nasib baik majikan aku memahami. Syukur alhamdulilah.

Sampailah pada hari yang aku maksudkan, hari Abang diagnosed positif. Aku dapat lihat perubahan Abang. Muka sugul dan tak ceria. Makan pun  tak selera. Aku kenal Abang. Dia seperti menyembunyikan sesuatu pada aku. Masa itu aku hanya berdoa, supaya Abang hanya terkena penyakit biasa-biasa. Malam itu, resah hati aku tak tertahan lagi. Aku mesej mak mertua beritahu Abang seperti sembunyikan sesuatu.

Malam itu juga, mak mertua aku call Abang. Time itu aku tengah mandi. Tak tahu apa yang dibualkan tapi nampak serius. Aku resah. Lepas habis perbualan, aku terus mesej mak mertua untuk tanya apa yang disembunyikan. Pada mulanya mak mertua aku suruh bersabar dan tabah. Aku dapat meneka apa yang bakal diberitahu. Apabila mak mertua aku mengiyakan, terasa seperti masa terhenti seketika. Gelap. Blank.

Mak mertua aku minta aku rahsiakan pada Abang, sbb Abang belum ready nak beritahu aku. Reaksi aku? Aku tak menangis, aku hanya terkedu. Aku pandang abang yang sedang terbaring diam.

Ya Allah, dugaan apakah ini?
Ya Allah, kesiannya Abang.
Ya Allah, aku tak sanggup tengok Abang macam ni.
Ya Allah, jangan kau tarik nyawa Abang sebegini cepat ya Allah.

Sumpah dalam kepala aku tak terfikir pun kenapa Abang buat aku macam ni. Macam mana abang dapat sakit ini. Aku hanya nak bersama dia. Aku hanya nak peluk dia erat-erat. Tenangkan hatinya. Aku tahu abang tengah down sangat². Perlahan² aku pergi duduk ke sebelah katil Abang.

Aku : Abang...
Abang : Ye? (Nada perlahan)
Aku : Saya sayangkan Abang. Tak kira apa terjadi. (Bagi hint)
Abang : Abang pun sayangkan Sayang.
Aku : Abang... (Tak tahu macam mana nak mulakan kata)
Abang : (pandang wajah aku dengan muka yg sugul)
Aku : Abang ok ke? (Still tak tahu nak mulakan)
Abang : Ok kenapa?
Aku : Saya dah tahu sakit Abang.. Saya suruh mak bagitahu..
Abang : (tersentak)... sakit apa?
Aku : Sakit abang.. saya tak nak sebut. (Nangis)
Abang : Mak bgtahu apa (muka sayu)
Aku : Kenapa abg nak sembunyi dari saya? Saya taknak jumpa doc, saya takut! (Nangis)
Abang : (tarik tangan aku dan menangis)
Aku : Saya taknak hilang Abang, please (nangis peluk dia)
Abang : Abang pun sama sayang.
Aku : Saya akan tetap bersama Abang. Ya Allah kenapa semua ni macam mimpi.
Abang : (menangis)
Aku : Abang jangan risau, kita hadapi benda ni sama².
Abang : Terima kasih sayang (menangis)

Abang tenangkan aku. Sebab aku cakap aku nak menangis puas². Aku tak pasti aku kuat ke tak. Abang bagitahu masih ada harapan. Abang kena buat rawatan. Abang nak aku berdepan dengan doc supaya doc dapat tenangkan aku, dapat ubah stigma dalam diri aku. Sebab itu dia berdiam dulu. Bila perkara itu aku dah tahu, aku dah dapat balik Abang yang ceria bukannya sugul, diam, sedih. Aku lega dia tak sembunyikan apa² lagi. Kami berbual sepanjang malam sampai terlupa nak balas mesej mak mertua.

Balas mesej mak ni dulu, lepas tu baru boleh tidur.
Terpulang pada Zeera nak terima anak mak atau tinggalkan. Mak redha. Allah dah balas dosa² dia cash. Kalau Zeera dah tak boleh jaga atau tak sanggup, pulangkan anak mak. Mak faham. Mak tetap syg Zeera mcm anak mak sendiri. Janji dengan mak.

Aku balas mesej mak.
Mak jangan risau, Zeera akan terus bersama anak mak. Zeera akan tunggu. Mak pun kena janji. Zeera tetap menantu mak sampai bila².

Aku beritahu perbualan aku dengan mak mertua aku dengan Abang. Abang menangis bila aku kata aku tetap menantu mak Abang sampai bila².

Malam tu aku langsung tak tidur. Bermacam perkara bermain di kepala. Mata terpejam, tapi badan menggigil ketakutan. Takut akan kehilangan, takut bila terjangkiti, takut dengan masa depan. Aku betul² berharap malam itu hanya mimpi.

Friday 20 October 2017

Pengenalan

Salam,

Jiwa aku meronta-ronta untuk menulis blog. Biar semuanya tertulis dan dicatat dalam diari yang dapat aku kongsikan buat teman-teman senasib denganku. Biarlah aku dikenali dengan nama Zeera. Jadi disini selepas ini blog ini akan dijadikan tempat untuk aku meluah perasaan, pengalaman, menjadi sebagai seorang isteri yang hidup dengan suami yang berstatus PLHIV.

Aku memang seorang blogger, ada blog sendiri yang ada ramai followers. Tapi tak mungkin aku berkongsi dalam blog tersebut. Macam biasalah, bila melalui ujian seperti ini aku takkan terlepas daripada stigma dan diskriminasi. Mungkin pada awalnya aku juga mempunyai stigma sebegitu. Tapi dengan adanya blog-blog, kaunseling dari doktor, support group aku jadi lebih faham dan mengerti bahawa hidup dengan PLHIV ini bukanlah suatu perkara yang sangat teruk dan menemui pengakhiran. Tapi ini hanyalah permulaan.

Aku menulis sebagai tanda support buat orang yang telah kecewa dengan hidupnya, yang celaru tak tahu nak mula, yang berkurung dalam biliknya. Ingatlah, bila dah terkena mesti ikut arahan doktor untuk buat rawatan. Jangan berhenti berharap tanpa usaha. Masih ada sisa hidup yang tinggal Allah berikan buat anda untuk anda perbetulkan kesilapan yang pernah anda lakukan. Bertaubatlah. Hadapi hidup dengan senyuman. Tebus kesilapan anda dan teruskan kehidupan. 

Dan disitulah tempat aku, sebagai orang yang akan sentiasa tersenyum walaupun sedar akan kepahitan. Kepahitan tentang dari mana datangnya penyakit itu dalam sesebuah perkahwinan. 

Jadi sampai disini saja coretan aku untuk hari ini. Insyaallah bila berkelapangan, aku akan berkongsi cerita dari masa ke semasa.

Love,
Zeera