Monday, 18 January 2021

Kisah 2021 - Alhamdulilah atas kurnianNya

Salam semua,

Terasa macam begitu lama aku tak buka blog ni. Sampai kena reset password la juga sebab dah lupa. Kejam betul. Maaf kalau sesiapa yang menunggu next story. Eh ada ke? Hehe. Kesempatan ini aku nak share perkembangan kehidupan aku yang dahulunya pernah jatuh, terduduk, menangis semahunya kerana aku rasakan Allah tak adil sebab aku menjadi seorang isteri kepada PLHIV. Terlebih dahulu aku nak mengucapkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana Allah telah buktikan yang setiap perancanganNya adalah yang TERBAIK. 

                                     

Last posting aku kongsikan aku dan suami berpeluang menjadi ibu bapa segera setelah lebih 6 tahun berkahwin. Dan saat itu Allah betul-betul hadirkan sebuah pelangi tatkala hujan ribut, dan badai melanda dalam perkahwinan kami. Dan pada saat itu, kami telah memulakan hidup baru bersama. Alhamdulilah suami aku perlahan-lahan tinggalkan kawan-kawan yang membawa pengaruh yang tak baik. Kami lebih fokus kepada membesarkan anak. Walaupun bukan anak yang aku kandung, tapi rasa itu sama je sebab kami menjaganya sejak lahir. Kini anak sulung aku dah berumur 3 tahun. Eh anak sulung?

Syukur, belum sempat anak sulung aku masuk 2 tahun, aku dan suami dikurniakan seorang lagi anak perempuan yang sangat comel. Kali ini aku betul-betul merasakan nikmat menjadi seorang ibu kerana Allah berikan aku peluang untuk melahirkan anak hasil daripada kami berdua. Sekarang anak kedua aku berumur 11 bulan dan Alhamdulilah sekali lagi....Allah itu Maha Penyayang...diberikan aku peluang untuk hamil sekali lagi.

Dan kini aku sedang hamil untuk anak yang ketiga, dan yang paling menggembirakan kami bakal mendapat anak lelaki pula. Perasaan aku? Syukur yang tak terhingga kerana Allah balas setiap kepahitan yang aku lalui dengan seribu kemanisan. Ada kalanya aku hampir terlupa yang aku ini adalah seorang isteri kepada PLHIV. 

Hubungan aku dengan suami? Alhamdulilah. Kami lebih fokus kepada anak dan mula dari tahun yang lepas aku perhatikan suami aku sudah mula mendekatkan diri kepada Allah. Itu pon setelah dia melalui fasa getir dalam hidup dimana dia ada anxiety dan kena rujuk kepada pakar psikitari. Allahu. Sebabnya atas faktor kerja dan hilang keyakinan diri lagi-lagi sejak terpaksa berhenti kerja disebabkan pernah jatuh sakit dahulu.

Aku faham, bukan senang untuk dia lawan semua ini. Berlawan dengan nafsu sendiri, dan mencuba untuk jadi yang terbaik. Apa yang aku buat, hanya support dan sentiasa memberikan semangat. Tipulah iman dia takde turun naik. Setakat like-like gambar laki bina badan ke laki sexy tu perkara biasa. Aku pantau. Tapi bukan bermakna aku hari-hari check handphone dia. Aku selalu gunakan pendekatan halus untuk dia. Sebab apa pun dia tetap lelaki. Ada ego kan?

Jadi aku akan tengok 1-2 hari start daripada kantoi tu. Then aku akan tegur baik-baik. Bukannya mengherdik. Aku peluk dia dan tanya "kenapa Abang like? Abang suka ke?". Then suami kau  menjawab la kat situ. Then kita main la tarik tali dengan dia. Tanya balik "Dah tak sayang kita ke?" Last sekali aku ingat lagi aku pernah cakap, "Cuba Abang fikir one day kita meninggal, then orang jumpa handphone kite dan orang sebarkan aib kite? Yang meninggal tu takkan rasa apa, tapi yang kena tinggal tu? Cuba Abang fikir". Menangis husband bila dengar aku cakap macam tu kat dia dan mintak maaf.

Kepada yang tanya macam mana nak ubah suami tu aku tak ada jawapan. Pada aku baik kita ubah diri sendiri dulu sebelum kita ubah orang lain. Kita takkan dapat ubah orang lain melainkan empunya badan sendiri. Alhamdulilah start dari tahun lepas suami aku dah mula join support group, setiap masa asyik dengar ceramah sampai aku pulak rasa kurang masa berkepit dengan dia. Haha. Dan setiap hari lagi-lagi PKP ni, dia akan cuba at least sekali sehari untuk solat berjemaah, selalunya Magrib atau Isyak. 

Tahun ini aku merasakan aku sudah pun mendapat sebuah keluarga yang harmoni. Aku pon sama cuba perlahan-lahan dekatkan diri kepada Allah. Jaga solat dan aurat. Yang penting kita ingat Allah, Allah akan balas dengan seribu kebaikan. InsyaAllah. Mungkin ada yang baca ni rasa macam aku tengah reka cerita tapi demi Allah, aku bahagia. Malah lebih bahagia daripada dulu. Jadi kepada yang senasib dengan aku, cubalah pertahankan rumahtangga selagi mampu. Jangan hanya menyerah, berkomunikasilah dengan suami. Jangan pendam, jangan hentam... penuhkan hidup dengan kasih sayang. InsyaAllah.

Dan sekiranya semua usaha telah dilakukan tapi suami langsung tak menghargai, silalah berfikir untuk diri sendiri. Janganlah biarkan suami zalimi diri korang. Kepada yang nak berkongsi story, atau nakkan pendapat boleh la email kepada aku memandangkan aku tulis blog bila teringat je. Hehe. Aku harapkan 2021 nanti aku akan lebih bahagia dengan kehadiran cahaya mata ketiga dan aku mohon suami dan kami sekeluarga sentiasa diberikan kesihatan yang baik dan dilindungi dari wabak virus Covid. Amin

Email : srikandizeera@gmail.com

Love,
Zeera

Wednesday, 12 September 2018

Seribu Kemanisan Disebalik Kepahitan

Salam semua. 

Rasanya dah terlalu lama sangat aku tak updated story dalam blog ni.  Tak sure la ada ke yang baca?  Haha. Alhamdulillah. Setelah melalui beberapa episod hitam dalam hidupku,  Allah balas dengan seribu kemanisan,  senyuman dan tawa. 

Alhamdulillah Abang dah undetected 2 kali. Resepinya?  Makan ubat ikut time and jangan skip ubat. Syukur Abang memang komited makan ubat,  4 bulan makan ubat virus tu terus tidur kata doktor. Cuma CD4 Abang ambil masa sikit nak naik balik.  Sebab last time memang CD4 dia sangat rendah kan. Dan doktor pun dah start tanya bila nak ajak wife untuk kaunseling untuk planning mengandung. Abang pun dah makin bersemangat sekarang. 

Syukur juga kami dikurniakan dengan rezeki yang tak diduga. Rezeki yang kami nantikan lebih 5 tahun usia perkahwinan kami. Cuba teka?  Wait,  i'm not pregnant yet.  Tapi Allah berikan kami rezeki untuk menjadi ibu dan bapa segera dengan seorang anak perempuan yang comel. 

Dengan hanya persiapan 2minggu menyambut baby,  kami rasakan semua ini bagaikan mimpi. Alhamdulillah semua urusan dipermudahkan dengan JKM & JPN. Macam mana prosedur mengambil anak angkat? Aku akan share kan kemudian. 

Sekarang aku lebih busy menguruskan rumahtangga dengan anak dan suami.  Dan perlu balance kan antara kerja dgn life. Sebab tu masa untuk diri sendiri semakin kurang. Rasanya semua ibu lalui perkara yang sama.  Tapi yang penting,  dengan kehadiran baby girl kami dah rasakan hidup kami lengkap. Tetapi jangan sangka semuanya indah belaka ye.. 

Nanti aku story lagi okay! 

Love, 
Zeera

Sunday, 21 January 2018

Harapan 2018

Salam semua,
Selamat tahun baru diucapkan.

Baru ada masa nak updated blog. Abang dah seminggu di kampung, so dia boleh stay dengan family dia sementara dapat kerja baru. Alhamdulilah Abang nampak semakin pulih cuma rashes dia tak baik-baik. Doktor cakap memang kena ambil masa sikit untuk pulih. Mungkin CD4 masih rendah. Aku berharap kesihatan dia semakin baik jadi dia dapat bekerja semula seperti biasa.

Nampaknya betul orang cakap kan, jika kita dilanda musibah atau ujian dan kita tempuhi dengan sabar dan tawakal. InsyaAllah dipermudahkan. Mungkin sekarang ni Allah tarik sedikit nikmat, Abang dah tak bekerja hampir sebulan, tapi Alhamdulilah kami langsung tak berasa hidup dalam kesempitan. Makan pakai semua cukup, lebih-lebih lagi kami ada simpanan. Aku bersyukur, kasih sayang Abang juga semakin bertambah. Kasih sayang dari keluarga juga semakin erat. Majikan aku juga sangat memahami. Aku dinaikkan pangkat dan gaji aku juga dinaikkan serta-merta. Alhamdulilah, ya Allah!

Macam mana episod hitam itu hadir dalam hidup kami, begitu juga rasa perit dan sedih itu dipulihkan dengan rasa syukur yang tak terhingga. Sungguh aku takut nikmat yang 'sedikit' ini hilang begitu saja. InsyaAllah kami akan terus menjaga hubungan dengan Allah, tanpa meninggalkan solat. Perbanyakkan ibadah, bersedekah, berbakti pada ibu-bapa. Abang pun dah mula jadi geng surau sekarang. Dia pun dah mula mengaji, dengar ceramah, dan sebagainya. Aku yakin Allah akan pelihara rezeki itu jika kita menjaga tanggungjawab kita dengan Allah. Itulah azam baru kami. Aku hanya mohon supaya Allah kekalkan supaya kami terus beristiqamah.

Bulan ini aku akan buat screening test lagi sekali sebab aku masih dalam window period. Aku cuba untuk bersifat redha dan tenang tak kira apa jua keputusan yang bakal aku terima. Sekiranya positif, mungkin ini takdir yang aku harus terima. Allah. Lindungi aku ya Allah. Dan sekiranya negatif, aku akan terus berjuang untuk Abang. Bantulah kami ya Allah. 

InsyaAllah.